MATLAMAT
Tujuan penerbitan buku karya agung adalah untuk menimbulkan minat dan kesedaran di kalangan orang Melayu khususnya dan di kalangan orang bukan Melayu amnya, terhadap peri pentingnya sesuatu bangsa itu mengenal warisan bangsanya atau negaranya sebagai rujukan nilai-nilai bersama bangsa untuk menghadapi cabaran negatif budaya global hari ini dan untuk terus mengekalkan kekuatan dalaman bangsa dalam proses membentuk tamadun baru. Pembaharuan tidak seharusnya memusnahkan tradisi tetapi hendaklah memperkukuh tradisi itu. Bangsa yang kekal di dunia ini ialah bangsa yang sangat menyedari akan warisan, tradisi dan tamadun bangsa sendiri, bangsa yang melakukan pembaharuan berdasarkan unsur-unsur tradisi bersama yang terbaik dan yang telah tahan ujian zaman.
OPERASI
Edisi Karya Agung yang diusahakan dan diterbitkan oleh Yayasan Karyawan ialah edisi ilmiah. Namun edisi ini boleh juga diterbitkan dalam edisi-edisi lain yang lebih mudah, misalnya edisi pelajar, edisi umum dan edisi ringkasan ini boleh diterbitkan oleh penerbit-penerbit lain setelah berunding dengan Yayasan Karyawan dengan membincangkan syarat-syaratnya.
Yayasan Karyawan bukan sebuah badan perniagaan, dalam erti kata bahawa usahanya tidak didasarkan pada matlamat untuk memperolehi keuntungan ekonomi
atau kewangan semata-mata. Segala perbelanjaan untuk melaksanakan kegiatannya diperoleh daripada sumbangan, baik daripada pertubuhan swasta, dermawan, sektor korporat atau kerajaan.
Tabung kewangan Yayasan digunakan untuk membiayai penyelidikan dan kajian tentang naskhah-naskhah Melayu tradisional yang dipilih untuk diedit dan perkenalkan sebagai KARYA AGUNG MELAYU. Yayasan juga membiayai, mengkaji dan menterjemahkan karya agung dalam bahasa-bahasa lain ke dalam bahasa Melayu.